ZAINAB ISTERI RASULULLAH PALING BANYAK SEDEKAHNYA

Zainab binti Jahsy adalah seorang wanita yang cantik jelita dari kaum bangsawan yang terhormat. Dipandang dari ayahnya, Zainab adalah wanita keturunan suku Faras yang berdarah bangsawan tinggi. Ia dinikahkan oleh Rasulullah s.a.w dengan anak angkat kesayangannya iaitu Zaid bin Haritsah. Tetapi jodoh pertemuan mereka berdua tidak kekal lama, kerana akhirnya mereka berpisah.Kemudian Allah SWT telah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w untuk mengahwini Zainab.

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.”[Surah Al-Ahzab: 37]

Imam Bukhari meriwayatkan dari Anas, Zainab sering berkata, “Aku berbeza dari isteri-isteri Rasulullah S.A.W yang lainnya. Mereka dikawinkan oleh ayahnya, atau saudaranya, atau keluarganya, tetapi aku dikawinkan Allah dari langit.”

Zainab adalah seorang wanita berhati lembut dan penuh kasih sayang, suka menolong fakir miskin dan kaum lemah. Dia senang sekali memberi sedekah, terutama kepada anak yatim. Rasulullah pernah bersabda kepada isterinya, “Yang paling dahulu menyusulku kelak adalah yang paling murah tangannya.” Maka berlumba-lumbalah isteri baginda dalam memberikan sedekah kepada fakir miskin. Namun tak ada yang mampu mengalahkan Zainab dalam memberikan sedekah.

Dari Aisyah r.a berkata, “Zainab binti Jahsy adalah seorang dari isteri-isteri Nabi yang aku muliakan. Allah S.W.T menjaganya dengan ketaqwaan dan saya belum pernah melihat wanita yang lebih baik dan lebih banyak sedekahnya dan selalu menyambung silaturahim dan selalu mendekatkan dirinya kepada Allah selain Zainab.”

Zainab mempunyai bakat dalam menyamak kulit, memintal serta menenun kain sutra, hasil inilah yang dijual dan disedekahkan. Hal itulah yang menyebabkan wanita cantik isteri Rasulullah ini bersedekah lebih banyak dari yang lainnya. Setelah Rasulullah wafat, Zainab terus aktif denganusahanya, terus bersedekah kepada fakir miskin. Ketika ia mendapat bagian harta dari Baitul Mal semasa pemerintahan khalifah Umar r.a dia berdoa, “Ya Allah janganlah harta ini menjadi penyebab fitnah.”Maka segera ia membahagikan harta itu kepada anak-anak yatim dan fakir miskin. Mendengar kata-kata itu Umar r.a mengirim lagi, tetapi Zainab tetap membahagikannya kepada anak yatim dan fakir miskin. Wanita pemurah itu wafat pada tahun 44H pada masa pemerintahan Khalifah Muawiyah

MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH

Manusia dijadikan Allah dari tanah melalui proses dari air mani dan seterusnya bertukar menjadi sebuku darah, kemudian bertukar pula ketulan daging. Kemudian ketulan daging akan membaluti tulang-tulang dan akhirnya ditiupkan ruh ke dalam jasad. Begitulah kejadian manusia yang dilantik oleh Allah SWT menjadi khalifah di muka bumi ini. Menanggung setiap amanah dan tanggungjawab dalam memakmurkan alam serta beribadat kepada Allah.

Jelas sekali bahawa inilah kehidupan yang selayaknya dilaksanakan oleh manusia. Bukan mudah memegang amanah dalam melaksanakan ibadah kepada Allah sepenuhnya. Kerana manusia begitu mudah untuk leka dan lupa sehingga mereka merasakan dunia ini akan terus kekal dan dapat dinikmati selama-lamanya.

Dua amanah utama yang perlu dilaksanakan oleh manusia sebagai hamba Allah SWT. Ayat yang selalu kita dengar tetapi amat kurang sensitiviti kita terhadap dua perkara ini. Amar makruf dan nahi munkar. Lakukan kebaikan dan benci kepada kemungkaran. Jika kita perhalusi, sebenarnya dua amanah begitu berat untuk kita sama-sama laksanakan jika kita tidak menyedari hakikat kita sebagai khalifah di bumi ini.

Kita sepatutnya lebih sensitif bila mana Allah menyebut di dalam kalamNya:

ali-imran-110

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”

Jika ini posisi yang Allah SWT berikan pada kita, maka mulai sekarang jika perlu melihat kembali diri kita, peranan kita dalam memakmurkan bumi dalam konteks yang dikehendaki olehNya. Apa yang perlu kita sebagai manusia ini untuk terus memastikan dipayungi oleh kebaikan dan juga memastikan bahawa kemungkaran juga dapat dicegah dan dibendung. Fikirkanlah..

 

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.